Media baru-baru ini melaporkan lebih 150, 000 individu (tidak semuannya kaya raya) telah tertipu dalam satu skim yang diberi nama Islamic Hotel (Skim pelaburan pajakan hotel di Mekah). Apa yang berlaku itu amat menyedihkan.
Ini memandangkan jumlah kerugian pelabur setakat ini telah
mencecah angka RM450 Juta. Khabarnya sebahagian besar wang itu sempat
dilarikan keluar negara oleh petualang yang menaja skim pelaburan tipu ini. Oleh
itu, peluang mangsa pelaburan mendapat balik wang mereka adalah amat tipis
sekali.
Ada dua sebab mengapa skim pelaburan itu begitu mudah sekali
menarik perhatian orang ramai terutamanya bagi mereka yang tidak begitu arif
tentang undang-undang dan prosedur pelaburan yang sah.
Pertama, disebabkan
namanya dikaitkan dengan kota suci Mekah dan kedua hanya dengan membuat
pelaburan RM3,500 awal setiap bulan pelabur akan menerima “dividend” sebanyak 15 % hingga 30 % hasil daripada keuntungan pajakan hotel di kota suci itu.
Penulis kira ramai tidak tahu bahawa di bawah seksyen 131
dan 132 Akta Syarikat 2016 (Akta777), sesuatu “dividen “ itu hanya boleh
dikeluarkan oleh syarikat sekiranya 2 syarat penting dapat dipatuhi.
- Pertama, dividen itu dikeluarkan sekirannya syarikat ada keuntungan sebenar daripada aktiviti perniagaan yang dijalankan dalam masa setahun yang lalu.
- Kedua,, pengarah syarikat telah mengesahkan bahawa pembayaran dividen itu tidak akan menjejaskan solvency (tahap kewangan yang sihat) syarikat tersebut.
Oleh itu mereka yang terbukti melakukan kesalahan di bawah
seksyen 131 ini boleh membawa kepada hukuman penjara tidak melebihi 5 tahun, denda
RM3 Juta atau kedua-duanya sekali.
Jika kita periksa secara teliti bagaimana skim pelaburan ini
dikendalikan (hakikatnnya satu skim cepat kaya), pembayaran dividen kepada
pelabur itu bukan dibuat hasil keuntungan syarikat tetapi daripada wang
pelaburan baharu yang dikitar semula.
Sebelum itu, pada 11 Februari 2015, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bagi hal ehwal
Agama Islam Malaysia telah pun mengeluarkan fatwa bahawa skim pelaburan yang
dikendalikan oleh syarikat Mecca Fund Global adalah haram.
Suspek dalam kes ini berjaya menipu pelabur dengan menukar
nama skim pelaburan ini daripada Mecca Fund Global kepada Mecca Islamic Global
dan akhirnya Islamic Hotel. Polis telah merujuk perkara ini kepada Tabung Haji
dan mendapati skim pelaburan ini sebenarnnya tidak wujud.
Wartawan UM, Zulkiflee Bakar dalam artikelnya “jangan mudah terpedaya
nama Islam” pada 31 Oktober lalu pula ada menyatakan harapannya agar kerajaan
memikirkan penggubalan undang-undang bagi mengenakan hukuman yang lebih berat
kepada penganjur dan penaja pelaburan tipu ini.
Saranan beliau ini mengingatkan penulis kepada seksyen 594(1)
Akta Syarikat 2016 yang menyatakan bahawa jika seseorang itu ada mendorong orang lain secara tipu
untuk melabur dalam apa-apa skim pelaburan, orang itu boleh dikenakan (jika
sabit kesalahan) hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun, denda tidak melebihi
RM3 juta atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, di bawah seksyen 594(2) pula, mana-mana pegawai
atau ejen syarikat itu boleh juga diheret ke mahkamah dan jika sabit
kesalahan, boleh dikenakan hukuman yang sama iaitu penjara 10 tahun, denda RM3
juta, atau kedua-duannya sekali.
Selain itu perlu ditegaskan di sini bahawa sesiapa sahaja
yang melakukan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Syarikat seperti ini boleh juga dituduh melakukan kesalahan di bawah undang-undang
pengubalan wang haram, iaitu Akta A1467 (nama penuhnnya Anti- Money Laundering
and Anti-Terrorism Financing (Amendment) Act 2014).
Ekoran pindaan yang dilakukan pada tahun 2014 lalu,
seseorang yang disabitkan di bawah seksyen 4 Akta A1467 itu boleh dikenakan
hukuman penjara sehingga 15 tahun , serta denda 5 kali nilai wang haram atau
RM5juta, yang mana lebih tinggi.
Kesimpulannya, jika pihak berkuasa negara ini serius mahu
mejadikan kes terbaharu penipuan pelaburan skim Hotel Mekkah ini satu
pengajaran pahit kepada penjenayah terlibat pada masa hadapan, heretlah semua
petualang ini di bawah ketiga-tiga undang-undang yang disebutkan di atas tadi
dan minta mahkamah menjatuhkan hukuman
ke atas mereka secara konsekutif di bawah setiap undang-undang itu dan
bukan serentak.
Penulis ialah penganalisa undang-undang
Oleh Salleh Buang
UM 8 November 2016
No comments:
Post a Comment