11/09/2016

Mengajar Anak Menabung Dengan Duit Sekolah


Memberi wang saku sebenarnya mengajar anak mengenai nilai wang. Inilah peluang anda untuk mengajar mereka mengenai perbelanjaan berhemah dan menyimpan.

Memang ada ibu bapa yang pening memikirkan  soal belanja saku duit sekolah anak. Antara yang berlegar di fikiran ialah berapa jumlah yang hendak diberi, pandaikah si anak mengira wangnnya? Apakah yang akan dibeli? Dan adakah anak akan boros kerana wang saku yang diberi?

Sebenarnya wang saku adalah antara cara terawal untuk kanak-kanak belajar menguruskan  wang. Ini adalah kemahiran yang mereka perlukan sepanjang hayat dan mempunyai wang akan membuatkan anak-anak berasa yakin.

Antara panduan yang boleh anda ikuti ialah

Berbual- bual dengan ibu bapa lain mengenai wang saku sekolah. Tanya berapa jumlah yang mereka berikan kepada anak dan ambillah purata untuk dijadikan panduan. Namun pastikan ia berpadanan dengan makanan yang dijual di kantin sekolah dan paling penting, tidak sampai ke peringkat membocorkan poket anda.

Terangkan kepada anak bahawa wang saku itu adalah untuk perbelanjaan ketika berada di sekolah sama ada untuk makanan, minuman atau memberi peralatan menulis. Berdasarkan keperluan.

Terangkan kepada anak dengan jelas perkara atau barang yang tidak boleh dibeli menggunakan wang saku sekolah. Oleh kerana mereka masih kecil, anak-anak anda mungkin tidak tahu membezakan antara barang yang di perlu atau mahu. Barang yang dia mahu mungkin sebenarnya tidak diperlukan langsung dan ini boleh membawa kepada membawa kepada tabiat perbelanjaan tidak berhemah atau membazir.

Beri wang saku sekolah anak mengikut kemampuan anda. Jika pendapatan anda kecil, beritahu kedudukan kewangan anda kepada anak-anak. Anak-anak kini bijak berfikir jika anda menjelaskan dengan baik dengan membuat senarai terperinci mengenai perbelanjaan bulanan isi rumah, mereka boleh bertolak ansur dan menerima wang saku yang lebih rendah berbanding rakan-rakan.

Galakkan anak membawa bekal dengan menjadi teladan kepada mereka. Ia adalah cara menjimatkan wang saku dan menggalakkan mereka menabung. Malah anda juga akan berasa lebih yakin dan selesa kerana anak –anak makan makanan yang disediakan di rumah.

Antara cara yang boleh dilakukan ialah menyediakan beberapa tabung untuk anak membahagikan wangnya. Beritahu anak bahawa dia perlu menyimpan sedikit terlebih dahulu dan bakinnya barulah digunakan untuk berbelanja.

Beri pujian kepada anak apabila melihat isi tabungan bertambah. Pertambahan isi tabung akan membuatkan anak berasa gembira dan lebih teruja untuk terus menyimpan.

Beri wang saku setiap hari. Elak memberi satu jumlah yang besar untuk seminggu. Ini penting untuk memastikan mereka tidak membeli barang yang tidak diperlukan dan kehilangan wang kerana  jika hendak cepat atau leka bermain, anak mungkin lupa menyimpan wang mereka dengan baik.
Selain itu, langkah ini juga dapat mengelakkan timbul rasa riak atau mahu menunjuk nunjuk kepada rakan lain. Ini akan menimbulkan persekitaran yang tidak sihat di kalangan psikologi kanak-kanak kerana ia boleh menyebabkan rakan lain berasa cemburu  atau rendah diri. Malah ia sangat penting untuk mengelakkan anak daripada menjadi mangsa buli atau ugut oleh rakan lain.

Elakkan memberi wang saku sebelum waktunnya, ia akan mengajara anak anak konsep berhutang.

Elak memberi tambahan kepada wang saku. Ia mengajar anak untuk berbelanja mengikut keupayaan (berdasarkan jumlah wang yang ada padannya)

Anda perlu ingat bahawa anak-anak anda belajar banyak perkara berdasarkan pemerhatiannya kepada cara anda menguruskan wang. Justeru, jadilah teladan yang baik dengan belajar untuk berbelanja secara berhemah.

No comments:

Post a Comment