Panduan bermualamat digariskan Islam semakin
berkembang serta diterima di peringkat
global
Kelebihan Perbankan Islam: Pembiayaan
Perumahan dan Kenderaan
Kebahagian dan ketenangan dalam kehidupan adalah
impian setiap insan. Syariat Islam memberikan penjelasan berkenaan mekanisme
mencapai kebahagian dan ketenangan bagi manusia.
Selain tatacara beribadat dan lain-lain
kewajipan, Islam mendatangkan panduan bagi urusan kewangan dan transaksi harian
Bertitik tolak daripada panduan bermualamat
digariskan Islam, produk kewangan dan perbankan tanpa faedah mula diperkenalkan
dan sehingga kini ia berkembang dan diterima di peringkat global.
Pencapaian ini adalah impak usaha kerajaan
memperkasakan Malaysia sebagai hab industri. kewangan Islam serantau.
Ciri unik perbankan Islam
Kontrak syariah diguna pakai dalam
perbankan Islam adalah berbeza dengan konvensional.
Perbankan Islam memperoleh keuntungan dengan cara yang tidak
bercanggah dengan Islam. Keuntungan terhasil daripada kontrak jual beli, sewaan,
perkongsian untung rugi dalam pelaburan dan beberapa kontrak lain yang
diiktiraf syariah.
Institusi Kewangan Islam (IKI) sentiasa
menjalankan tanggungjawab dan menunaikan hak pelanggan dalam menjalankan
aktiviti muamalatnya.
Tadbir urus yang baik, ketelusan maklumat
dan akauntabiliti serta keadilan adalah nilai dan prinsip IKI ke arah mencapai
salah satu maqasid atau matlamat syariah dalam penjagaan harta (hifz al-mal)
Produk pembiayaan perumahan secara Islam
dan kelebihannya
Ada 2 jenis kontrak syariah bagi pembiayaan
perumahan yang banyak diguna pakai iaitu Tawarruq dan Musyarakah Mutanaqisah.
Konsep Musyarakah Mutanaqisah ialah konsep
perkongsian berkurangan yang berakhir dengan pemilikan tunggal.
Contoh aplikasi konsep Musyarakah
Mutanaqisah boleh dilihat dalam pembiayaan perumahan apabila pelanggan yang
ingin membeli hartanah memohon pembiayaan daripada pihak Institusi Kewangan
Islam tertentu.
Institusi Kewangan Islam dan pelanggan akan
membeli hartanah berkenaan secara perkongsian mengikut kadar tertentu.
Pelanggan dikehendaki membayar bayaran
pendahuluan (yang akan menjadi bahagian pemilikan pelanggan) dan seterusnnya Institusi
Kewangan Islam akan menyewakan hartanah berkenaan ( bahagian pemilikan Institusi
Kewangan Islam).
Bayaran bulanan atau sewa daripada
pelanggan akan menambahkan kadar pemilikan pelanggan sehingga akhirnya pelanggan
akan memiliki sepenuhnya hartanah berkenaan.
Kelebihan ketara produk pembiayaan
perumahan secara Musyarakah Mutanaqisah ialah Institusi Kewangan Islam akan
bersama-sama dengan pelanggan membeli hartanah mengikut kadar dipersetujui.
Ini bermakna, Institusi Kewangan Islam dan
pelanggan adalah pemilik bersama hartanah berkenaan. Sekirannya berlaku masalah
seperti projek terbengkalai dan tidak dapat diteruskan, Institusi Kewangan
Islam akan memulangkan bayaran ansuran dalam tempoh pembinaan yang sudah
dibayar pelanggan.
Selain itu, Institusi Kewangan Islam akan
menangung jumlah kerugian atas jumlah wang pengeluaran yang sudah dibayar
kepada pihak pemaju atas dasar perongsian dalam kontrak ini demi mengelakkan
daripada mana-mana pihak dizalimi dalam perjanjian dimaterai.
Kelebihan lain, adalah penawaran kemudahan
tunai kepada pelanggan produk pembiayaan perumahan Musyarakah Mutanaqisah sekirannya
pelanggan ada membuat prabayar.
Kemudahan tunai ini boleh diperoleh
pelanggan melalui penjualan pemilikannya ke atas rumah yang dikongsi dengan
pihak bank. Kemudahan tunai ini juga boleh dimohon sekirannya pelanggan ada
membuat lebihan bayaran bulanan atau sewa.
Produk ini juga memberi kemudahan untuk
pelanggan membuat penyelesaian awal. Ini bererti pelanggan yang ada kemampuan
atau lebihan wang dan ingin menyelesaikan bayaran baki pembiayaan boleh
melakukannya pada bila-bila masa tanpa caj penyelesaian awal.
Pembiayaan Kenderaan secara Islam
Pembiayaan kenderaan secara al-Ijarah
thumma al-Bai’ (AITAB) membabitkan 2 jenis kontrak sewaan (ijarah) disusuli
kontrak jual beli (al-bai).
Institusi Kewangan Islam akan memeterai
perjanjian ijarah dengan pelanggan. Seterusnya, Institusi Kewangan Islam akan
membeli kenderaan yang sudah dipilih pelanggan. Kemudiannya, Institusi Kewangan
Islam akan menyewakan kenderaan berkenaan kepada pelanggan bagi satu tempoh
tertentu.
Pada akhir tempoh sewaan, Institusi Kewangan Islam dan pelanggan
akan memeterai satu perjanjian jual beli atau al-bai dan hak milik kenderaan
berkenaan akan berpindah daripada Institusi Kewangan Islam kepada pelanggan.
AITAB adalah solusi pembiayaan kenderaan
patuh syariah daripada sewa beli perbankan konvensional.
Antara kelebihan AITAB adalah apabila
berlaku kematian pelanggan, waris tidak perlu membayar apa-apa sekirannya
pelanggan dipulangkan kepada Institusi Kewangan Islam. Selain itu, Institusi Kewangan
Islam akan menanggung kerugian sekirannya berlaku kejadian “Force Majeure” yang
tidak dapat dielakkan.
Selain menawarkan harga yang kompetitif dan
mempunyai kadar siling atau kadar tetap, Institusi Kewangan Islam hanya
mengenakan caj pembayaran lewat (ta’widh) yang rendah sekirannya pelanggan
lewat membuat bayaran bulanan atau sewa.
Oleh Mohd Faiz Rahim
Ketua Jabatan Syariah, Affin Islamic Bank
Berhad
HM 11 November 2016
No comments:
Post a Comment